Posted on August 1, 2026

Ada sesuatu yang begitu menenangkan tentang bangun pagi dengan bunyi ombak, menikmati udara laut yang segar dan membiarkan jadual harian berlalu tanpa sebarang rancangan yang tergesa-gesa. Kadangkala, percutian terbaik bukanlah tentang destinasi yang jauh, tetapi tempat yang memberikan ruang untuk benar-benar berehat. Itulah yang saya rasakan sepanjang tiga hari dua malam di DoubleTree Resort by Hilton Penang.
Terletak di kawasan Batu Ferringhi, resort ini menawarkan keseimbangan antara ketenangan dan aktiviti yang sesuai untuk semua peringkat usia. Sebaik sahaja melangkah masuk ke lobi, kami disambut dengan layanan mesra daripada kakitangan serta signature cookies yang baru dibakar. Tradisi kecil ini mungkin ringkas, tetapi cukup untuk membuatkan sesi daftar masuk terasa lebih peribadi dan mengalu-alukan.


Connecting Room yang Sesuai untuk Keluarga
Bilik kami juga menjadi antara sebab mengapa penginapan ini terasa begitu selesa. Kami menginap di bilik jenis connecting room, pilihan yang cukup ideal untuk keluarga atau kumpulan rakan-rakan yang bercuti bersama. Satu bilik dilengkapi katil bersaiz king (King, Deluxe Room with Balcony), manakala satu lagi menawarkan dua katil bujang (Twin Room), memberikan ruang yang lebih selesa tanpa mengorbankan privasi. Lebih istimewa, kedua-dua bilik menghadap laut, membolehkan kami menikmati pemandangan biru Selat Melaka sebaik sahaja membuka langsir pada setiap pagi.

Bagi mereka yang meraikan hari istimewa seperti ulang tahun kelahiran, ulang tahun perkahwinan atau bulan madu, jangan lupa maklumkan kepada pihak hotel lebih awal. Pasukan DoubleTree Resort by Hilton Penang turut menyediakan dekorasi khas di dalam bilik bagi menjadikan sambutan tersebut lebih bermakna. Sentuhan kecil seperti ini mungkin nampak sederhana, tetapi cukup untuk membuatkan sesuatu detik terasa lebih peribadi dan sukar dilupakan.

Lokasi Percutian Ideal Buat Si Manja
Bagi keluarga yang bercuti bersama anak-anak, hotel ini sememangnya direka untuk memastikan semua orang mempunyai sesuatu untuk dinikmati. Kolam renang menjadi antara tarikan utama dengan ruang permainan air khas untuk kanak-kanak lengkap dengan gelongsor dan pancuran air berwarna-warni yang pasti membuatkan mereka tidak mahu pulang. Pada masa yang sama, ibu bapa boleh menikmati waktu santai di sekitar kolam sambil menghirup minuman atau sekadar menikmati suasana yang tenang.
Lokasinya yang berdekatan dengan pantai juga menjadi satu kelebihan. Sebuah jambatan pejalan kaki menghubungkan resort terus ke kawasan pantai, membolehkan tetamu berjalan dengan selamat tanpa perlu menyeberangi jalan utama. Sama ada ingin menyaksikan matahari terbenam, bersiar-siar di persisiran pantai atau sekadar menikmati bunyi ombak, semuanya hanya beberapa minit dari bilik penginapan.

Apabila malam menjelma, Makan Kitchen menghidangkan Seafood Night Buffet yang menjadi antara pengalaman paling dinanti-nantikan sepanjang penginapan kami. Pilihan makanan lautnya cukup mengagumkan, daripada hidangan seafood boil yang dipenuhi ketam, udang dan kupang sehinggalah tiram segar yang boleh dinikmati sepuasnya. Selain makanan laut, pilihan sushi, sashimi, pasta yang dimasak secara langsung serta pelbagai hidangan tempatan dan pencuci mulut memastikan setiap kunjungan ke bufet terasa berbaloi.


Namun, jika ada satu pengalaman yang paling mengejutkan saya sepanjang berada di sini, ia bukanlah kolam renang mahupun bufet makan malam. Sebaliknya, ia adalah TeddyVille Museum. Sejujurnya, sebelum melangkah masuk, saya menjangkakan ia hanyalah sebuah muzium teddy bear biasa yang mungkin lebih sesuai untuk kanak-kanak. Saya tidak pernah menyangka ia akan menjadi antara aktiviti kegemaran saya sepanjang berada di Penang. Lawatan di sini dikendalikan oleh petugas muzium yang akan membawa pengunjung meneroka setiap ruang sambil berkongsi kisah di sebalik setiap koleksi. Rupanya, muzium ini jauh lebih besar daripada yang saya bayangkan dan setiap bahagian mempunyai tema tersendiri.



Antara yang paling menarik perhatian ialah koleksi yang memaparkan sejarah teddy bear tertua di dunia, selain penceritaan tentang evolusi patung ikonik ini dari zaman ke zaman. Lebih istimewa, terdapat juga galeri yang meraikan budaya Pulau Pinang dengan pelbagai diorama menggunakan teddy bear sebagai watak utama. Daripada suasana penjaja makanan tempatan hinggalah warisan masyarakat berbilang kaum, semuanya diterjemahkan dalam bentuk yang comel, kreatif dan menghiburkan. Saya tidak sangka sebuah muzium teddy bear boleh membuatkan saya tersenyum hampir sepanjang lawatan.

Pulihkan Lenguh Badan di Eforea Spa
Rawatan Himalayan Hot Stone selama 90 minit menggunakan batu panas bersama pilihan minyak urutan memberikan pengalaman yang benar-benar menenangkan. Haba daripada batu tersebut membantu melonggarkan otot yang tegang, manakala teknik urutan yang perlahan dan teratur melepaskan setiap titik ketegangan yang terkumpul pada bahagian belakang badan, bahu dan leher. Setiap pergerakan terasa cukup seimbang, tanpa tergesa-gesa, membolehkan tubuh berehat sepenuhnya.

Suasana bilik rawatan yang tenang, diiringi alunan muzik lembut dan aroma minyak pati yang menenangkan, menjadikan pengalaman ini lebih daripada sekadar sesi urutan. Ia seolah-olah memberi ruang untuk tubuh dan minda kembali menemukan ritma yang lebih perlahan, jauh daripada kesibukan rutin harian. Menjelang penghujung sesi, tubuh terasa jauh lebih ringan, manakala fikiran pula menjadi lebih tenang. Pengalaman ini mengingatkan bahawa meluangkan masa untuk berehat bukan satu kemewahan, sebaliknya satu keperluan yang sering diabaikan.


DoubleTree Resort by Hilton Penang bukan sekadar sebuah hotel untuk bermalam. Ia menawarkan pengalaman yang membuatkan setiap ahli keluarga mempunyai momen kegemaran masing-masing. Anak-anak pasti akan menghabiskan masa di kolam renang, pencinta makanan akan teruja dengan Seafood Night Buffet, manakala mereka yang mencari ketenangan boleh memilih untuk menikmati spa atau berjalan kaki ke pantai pada waktu senja.





















.gif)

Apa pandangan anda?