Posted on May 27, 2020
Cover lagu Raya 2020 yang wajib kamu dengar? Mestilah saya kata daripada Najwa dan Loque. Dendangan Pulanglah (nyanyian asal oleh Aisyah) dan Suara Takbir (P.Ramlee) daripada mereka sungguh memberi kesan kepada pendengar. Pilihan lagu-lagu ini juga memberi rasa melankolik kepada kita. Tambah lagi dalam keadaan raya PKPB tahun ini. Apa-apa pun saya puji kerana Najwa dan Monoloque membawa nafas segar dan original kepada pembawaan lagu-lagu ini. Itu yang saya suka tentang nyanyian mereka.
Cerita di sebalik nyanyian lagu Suara Takbir oleh Loque ialah dia beraya di rumah mertuanya. Katanya dalam kapsyen postnya, “Memang ditakdirkan “Hari Raya Ini Dalam Sejarah” tahun 2020 ini , pergi beraya (dalam kawalan) ke rumah mertua terbawak “audio interface” pulak 🤣🤣 (@dahlianadirah).” Kebetulan adik iparnya meletakkan keyboard di dalam bilik mereka, langsung dia terilham menyanyikan lagu Suara Takbir. Signature nyanyian Loque amat ketara dalam dendangannya justeru menjadikan lagu ini kedengaran baru. Mungkin Loque patut merakamkan lagu ini untuk Raya tahun depan. Katanya lagi tentang Raya PKPB kita tahun ini,
Ini bukan hanya “penjarakan sosial” tapi “quarantine bunyi”! Selamat Hari Raya ke 3!
https://www.instagram.com/p/CAo_zHrgN5F/
Cover lagu raya 2020 satu lagi yang wajib kamu dengar ialah daripada Najwa yang memuat naik post nyanyian lagu Pulanglah nya pada malam Raya. Bagi saya suara Najwa persis menghantui pendengar. Dalam kata Inggeris nya, haunting. Entah, memang begitulah perasaan saya setiap kali mendengar nyanyian Najwa. Itu ciri suara Najwa yang sememangnya menjadi miliknya. Susunan lagu Pulanglah ini juga diperbaharui justeru membuatkan lagu ini kedengaran segar.
Rakaman lagu ini pula dianjurkan oleh Selangor Youth, network yang diasaskan oleh YM Raja Muda Selangor. Antara yang meninggalkan komen di post Najwa ini ialah penyanyi Imran Ajmain yang menyebut, “So surreal and dreamy. Nicely done Njwa!!! 🏆.” Loque juga meninggalkan komen, “Gemersik @njwamusic 👏👏 👏 .”
Apa-apa pun walau kedua-dua nyanyian penyanyi ini meninggalkan rasa melankolik dalam diri, saya kira sebagai insan seni ini adalah sesuatu yang kita perlukan daripada mereka. Seniman seharusnya memberi rasa kepada masyarakat dan itulah yang dilakukan oleh Loque dan Najwa. Dalam keadaan kita diuji sebegini, banyak antara kita yang tercari-cari arah dan cahaya buat penerang diri. Seni dan seniman antara punca yang bisa memberikan ini kepada masyarakat. Kerana pada nyanyian, kreativiti dan ‘kegilaan’ insan seni itu ada penyembuh dan harapan.
Tahniah kepada Najwa dan Loque kerana memberikan kepada kita cahaya dan harapan melalui seni kalian. Sekurang-kurangnya ada juga yang memberi manfaat dalam lambakan negativiti dan nukilan kosong di media sosial yang saya saksikan hari ini.
https://www.instagram.com/p/CAh_VaUpHw2/
Apa pandangan anda?