Posted on February 5, 2019
Bertahun-tahun lamanya saya tercari-cari erti cinta. Biasalah erti cinta itu takkan sama sejak kita lahir, membesar ke sekolah rendah, cinta monyet sewaktu di sekolah menengah, cinta cemburu-cemburuan waktu remaja, menginjak usia 20-an dan percayalah ia akan semakin berubah pabila kematangan mengetuk pintu minda dan hati. Malah cinta akan sama sekali berbeza makna setelah melalui setengah abad kehidupan. Tak mengapa. Biar erti cinta itu berubah berapa kali sekalipun kerana kehidupan kita memang sudah ditakdirkan sebegitu. Akan sentiasa berevolusi dan berkembang, ia tidak seharusnya kekal di tangga yang sama. Hidup pasti bosan dan tiada lagi keterujaan andai ia tidak disapa angin perubahan.
Sebagai manusia, cinta awal yang kita kenal tentulah cinta daripada ibu kita yang tidak berbelah bahagi. Simbahan cinta dan kasih sayang daripada mama takkan saya lupakan sampai bila-bila. Cintanya itu begitu agung sehingga saat ini pun walau dia tidak lagi bersama, masih dapat saya rasai. Hangatnya dakapan mama dan tulusnya ciuman dia di pipi saya terkadang-kadang masih lagi menemani apalagi kala saya merindui. Benarlah kata orang tali perhubungan antara ibu dan anak itu tidak akan terputus sampai bila-bila. Dan cinta ibu itu tidak akan ada siapa pun yang boleh mengganti.
Tentulah kalau kamu tanya pada saya, cinta sebeginilah yang saya harapkan akan sentiasa menyelubungi diri sampai kita mati. Oh, oh namun sayang… dengar dan percaya kata saya ini ya… jangan kamu terlalu mengharapkan cinta seagung ini kerana seperti kata saya tadi, tiada siapa pun yang akan dapat mengganti cinta seagung ini. Jangan letakkan expectation cinta sebegini hadir dalam hidup kamu kerana expectation inilah yang akan membuat kamu kecewa dan sengsara dalam semua percintaan yang akan kamu lalui dalam hidup kamu. Mungkin juga ini salah saya. Meletakkan expectation sebegini dalam semua cinta yang saya lalui selama hampir empat dekad hidup setakat ini.
“Erti cinta itu takkan sama sejak kita lahir, membesar ke sekolah rendah, cinta monyet sewaktu di sekolah menengah, cinta cemburu-cemburuan waktu remaja, menginjak usia 20-an dan percayalah ia akan semakin berubah pabila kematangan mengetuk pintu minda dan hati.”
Saya juga melihat cinta antara mama dan babah saya di mana sampai ke hujung nyawa mama, babah masih memimpin tangan mama. Menyediakan semua keperluannya, mendengar semua keluh kesahnya, berbual tentang everything under the sun dan menyelesaikan semua masalah perhubungan seperti orang dewasa dan bertamadun. Maka apakah salah jika saya ada expectation yang sama kalau bercinta? Ya saya sudah pun menerima kenyataan ini. SALAH. Walaupun saya membesar melihat cinta sebegini, sekali lagi kita tidak boleh meletakkan expectation ini dalam perhubungan dan cinta kita. Kerana cinta yang saya lihat itu adalah cinta mama dan babah saya. Tidak semestinya cinta itu akan sama dengan cinta saya kalau saya memilikinya.
Mungkin saya bertuah kerana waktu saya tingkatan satu, saya diberi peluang merasai cinta yang hampir sama dekatnya dengan cinta antara mama dan babah. Kekasih saya menjaga saya seperti menatang minyak yang penuh. Kasih sayangnya itu sama dengan kasih sayang babah terhadap mama. Sekali lagi saya tanya pada diri, salahkah saya jika sampai hari ini saya masih mengharapkan cinta yang sama? Jawapannya tak berubah, Masih SALAH. Tentulah kita akan selalu mengharapkan pengalaman yang manis-manis sahaja dalam hidup.
Begitulah dengan cinta, tentulah kita mengharap agar cinta kita itu yang paling agung. Dan kemanisannya semanis madu. Tetapi apakan daya, pengalaman cinta itu tidak akan sama setiap kali kamu merasainya. Kerana apa? Hari ini saya semakin mengerti. Dek kematangan diri saya boleh kata bahawa cinta itu takkan sama pengalamannya kerana erti cinta itu tergantung pada diri sendiri.
“Kerana pedihnya hati pabila cinta yang kamu beri itu rupanya tidak dibalas sama seperti jangkaan kamu, hanya Tuhan yang tahu.”
“Tapi Amy… saya rasa saya ada terlalu banyak cinta dalam diri saya hingga saya mahu memberinya sama rata kepada semua orang di sekeliling saya.” Begitu yakinnya saya memberitahu teman baik saya satu hari lewat beberapa tahun lalu. Nada jawapannya marah malah ada nada sinis yang mengatakan, “Eeeeeee… mengapalah kau ni naïf, lurus bendul dan bodoh sekali?!?” Tapi jawapannya pada saya, “Mana boleh begitu Reezal? Cinta pada ibubapa, pada keluarga, pada teman dan pada kekasih… semuanya berbeza-beza. Masakan kamu boleh fikir untuk menyamakan semuanya?”
Ya saya akui masih pendek akal dan belum cukup matang waktu itu. Mahu menyamakan cinta untuk semua? Apa sudah gila? Itu saya boleh kata pada diri saya hari ini. Kerana kalau kamu suka dikecewakan, nahhhhhh cubalah mencintai kesemuanya dengan jumlah yang sama. Sila cuba sekarang dan beritahu saya apakah hasilnya. Tolong kongsikan dengan saya kerana saya tak sabar untuk memberitahu kamu… “I told you so….” Jadi jangan buat kesalahan yang sama dengan saya waktu saya belum matang dahulu.
Kerana pedihnya hati pabila cinta yang kamu beri itu rupanya tidak dibalas sama seperti jangkaan kamu, hanya Tuhan yang tahu. Sengsaranya diri pabila kamu mendapat tahu yang cinta hati kamu selama ini menipu mencintai kamu, saya sendiri tak boleh menggambarkan dengan kata-kata. Dan sakitnya hati itu akan lebih sakit lagi kerana hati kamu masih lagi muda dan mungkin dilukai buat pertama kali. Ingat… “First cut is the deepest.”
“jangan mengharap cinta yang kamu rasa bersama kekasih atau pasangan kamu itu akan kekal selama-lamanya sama seperti waktu kamu mula bertemu. Seiring peredaran masa, perasaan cinta itu juga harus sentiasa diperbaharui.”
Maka kerana itu pada usia saya kini, saya menyimpulkan bahawa erti cinta itu benar-benar tergantung pada diri sendiri. Tidak ada makna yang umum tentang cinta. Saya mendengar cerita seorang teman satu hari. “Aku kahwin masa umur aku 30. Waktu itu girlfriend aku Maisarah. Aku fikir kalau aku tak kahwin sekarang, masa umur berapa aku nak ada anak? Nanti kalau aku dah terlalu tua, susah pula nak jaga anak kecil. Jadi aku kahwin sahaja dengan Maisarah.” Ohhhh begitu… Fikir saya dalam hati. Itu sebabnya dia berkahwin dengan isterinya. Tentulah jangkaan saya dia akan kata, “Aku kahwin Maisarah sebab aku cinta dia dan aku nak habiskan seluruh hidup aku dengan dia.” Oh alangkah bagusnya kalau cinta itu begitu. MASALAH nya itu cinta yang kamu selalu tengok dalam filem atau yang kamu baca dalam buku.
Untuk teman saya ini juga, cinta adalah pekerjaan. Selepas dia berkahwin dengan Maisarah, dia harus work on their love. “Uissshhhhhh… susah Reezal. It’s a battle. It’s a constant battle. Kau kena lawan banyak benda. Perempuan yang cuba menggoda. To say no to that, that’s a battle. Kau tak boleh slack sekali pun. Kau slack sekali, seluruh kepercayaan itu akan musnah. Berkahwin dan bercinta juga bukan bermakna kau kahwin dengan isteri kau aja. Kau kahwin dengan seluruh keluarganya. Kalau ada benda yang kau tak suka tentang keluarga dia… kau kena work on it. Ini tak masuk lagi bab anak-anak. Don’t get me started.” Begitu cerita teman saya lagi. Nah… Begitu pula erti cinta bagi dia. Satu pekerjaan. Ini maksud cinta yang baru bagi saya.
Tapi saya setuju kerana jangan mengharap cinta yang kamu rasa bersama kekasih atau pasangan kamu itu akan kekal selama-lamanya sama seperti waktu kamu mula bertemu. Seiring peredaran masa, perasaan cinta itu juga harus sentiasa diperbaharui. Harus dipelbagaikan dengan bumbu-bumbunya. Perlu disiram dan dibajai. Kerana kalau tidak cinta itu akan kering dan gugur seperti bunga layu yang tak berseri lagi.
“Jangan sesekali mengejar lagi cinta melainkan ia sendiri datang mengetuk pintu hati kamu.”
Mencintai juga harus bermula dengan diri sendiri. Bukan ertinya sahaja yang tergantung pada diri tetapi caranya juga wajib bermula dengan diri kamu sendiri. “Only when you learn how to love yourself, you will know how to love somebody else.” Dan daripada pepatah ini juga saya belajar untuk tidak mengejar cinta. “Never chase love. If it’s not given freely, it’s not worth having.” Saya ambil masa bertahun-tahun lamanya untuk belajar mencintai diri sendiri. Bermakna saya benar-benar tahu bagaimana untuk mencintai. Jadi mengapa saya perlu mengejar lagi cinta itu. Kalau benar saya layak menerima lagi cinta selain daripada cinta yang saya miliki untuk diri sendiri, cinta itu akan dengan sendirinya mencari saya. “Never beg for love. You should never have to ask to feel wanted. Begging is demanding and degrading. If someone doesn’t willingly give you these things, with their arms wide open, they aren’t worth it.”
Jadi kesimpulan saya untuk kamu yang merasai cinta tak berbalas itu, salah itu bukan pada diri kamu, tetapi pada orang yang tak membalas cinta kamu itu. Kerana dia belum belajar untuk mencintai dirinya sendiri. Dan selagi dia belum belajar ini, selagi itulah dia akan mengejar cinta dan mengharapkan cinta yang mungkin tidak sama dengan jangkaan yang ada dalam dirinya. Janganlah kamu menyalahkan diri kamu sebaliknya teruskan hidup. Dan jangan sesekali mengejar lagi cinta melainkan ia sendiri datang mengetuk pintu hati kamu. Kerana percayalah cinta yang kamu miliki untuk diri sendiri itu sebenarnya sudah terlalu cukup untuk kamu meneruskan hidup di atas muka bumi ini.
Tapi yalah sekali lagi saya mengulang, erti cinta itu tergantung pada diri sendiri. Ini erti cinta bagi saya menerusi pengalaman saya. Mungkin ia berbeza untuk kamu yang sudah merasai cinta paling manis daripada insan yang kamu cintai. Tahniah saya ucapkan pada kamu dan bertuahlah kamu kerana kamu berpeluang merasai cinta yang lebih daripada cinta pada diri sendiri. Bermakna kamu dapat merasai cinta berganda. Dan tidak semua mampu merasa. Andainya kamu antara insan bertuah ini, janganlah kamu kedekut pula untuk menyebarkan cinta kamu itu kepada insan lain kerana hari ini kita hidup dalam dunia yang benar-benar kehausan cinta.
Apa pandangan anda?