Posted on December 13, 2019
12 Lagu Final AJL 34 Yang Layak Bertanding di Pentas Akhir #AJL34
Berapa kali sudah saya amati, nampaknya Anugerah Juara Lagu ke-34 atau AJL 34 (#AJL34) masih berkiblatkan komersial, seperti tulisan saya tahun lalu untuk #AJL33. Entahlah mengapa saya tidak begitu teruja melihat senarai finalis yang berjaya maju ke pentas akhir #AJL34, Februari tahun hadapan.
Seperti biasa, Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir tidak akan menyanyi. Sebaliknya, diganti dengan Bob Yusuf yang akan menyandang tugas membawa lagu ‘Anta Permana’ ciptaan Hael Hussaini dan Ezra Kong. Manakala Fairuz Misran diberi tanggungjawab mendendangkan ‘Ragamanmu’ ciptaan Faizal Tahir, Mike Chan dan Romeo.
Mujur power vocal, Ernie Zakri tersenarai dalam Top12 #AJL34 ini. Dia membawa lagunya yang bertajuk ‘Ku Bersuara’. Maaf cakap, saya rasakan lagu ini sahaja (setakat ini bagi saya) yang benar-benar layak ke pentas akhir #AJL34. Ernie menyanyikan dengan penuh karisma dan berada di kelasnya yang tersendiri semasa pentas separuh akhir tempoh hari. Oh tidak lupa juga, ‘Kisah Cinta Kita’ nyanyian Hafiz Suip.
Satu lagi lagu yang menarik perhatian saya adalah ‘Bangun’ nyanyian Aman Ra, ciptaan Aman Ra sendiri bersama komposer, Navigator. Sekurang-kurangnya lagu ini bernada segar dan pembawaan Aman Ra bersahaja namun bertenaga.
Dua lagu dengan tajuk yang sama, ‘Sumpah’ nyanyian Aina Abdul dan Naim Daniel juga turut tersenarai untuk pentas akhir. Sejujurnya kedua-dua lagu ini tiada banyak beza. Kedua-duanya lagu balada. Kedua-duanya lagu soal patah hati. Ia lagu putus cinta. Namun tepukan boleh diberikan kepada kedua-dua pendatang baru ini kerana membawanya dengan baik sekali.
Haqiem Rusli pula menyampaikan ‘Lembah Kesepian’. Seperti biasa Haqiem menyampaikannya tanpa cacat cela semasa di pentas separuh akhir lalu, tetapi tiada faktor X yang boleh membuatkan persembahan dia itu boleh diingati.
#AJL34 juga turut menyaksikan empat kumpulan berjaya mara ke pentas akhir untuk merebut #AJL34. Mereka adalah Drama Band, Akim & The Majistret, Hazama The PenglipurLara dan Kugiran Masdo. Masing-masing membawa lagu hits mereka seperti ‘Drama’, ‘Rampas’, ‘Dinda’ dan ‘Peneman’.
Keseluruhannya, pemilihan 12 Finalis #AJL34 tidaklah begitu mengujakan. Sebenarnya, saya sudah dapat agak siapa yang bakal menyandang gelaran Anugerah Juara Lagu ke-34 nanti. Siapa? Kamu tanya? Rahsia…Nantikan Februari tahun hadapan… (ketawa).
Namun sekurang-kurangnya, pentas akhir #AJL34 tidaklah dibanjiri oleh #BBNU dan lagu-lagu yang mendayu entah apa-apa seperti satu, dua, tiga tahun yang lepas. Bagi saya itu satu petanda pembaharuan dan sudah cukup progresif untuk industri muzik Malaysia.
Apa pandangan anda?