Posted on October 28, 2020
Jika kita bertegas mengatakan bahawa Kuala Lumpur antara metropolitan yang mempunyai vista kota yang tersangat indah, pernah dinobatkan dalam senarai “Best City Skyview”, masih ada yang tidak meyakini fakta tersebut… nah! Tunjukkan pada mereka akaun Instagram @kualalumpurcity (Kuala Lumpur City)! Pasti ia membuat mereka bungkam dan menukar pandangan mereka terhadap kota Kuala Lumpur.
Ya, kami di STAIL menjumpai akaun Instagram @kualalumpurcity, yang kini menjadi obsesi dan kami ingin mencadangkan kepada kamu untuk follow akaun tersebut.
Umpama eskapisme. Mendorong rasa bak seorang pelimbang yang kononnya berkelana jauh ke kota Kuala Lumpur pun ada. Pemandangan seni bina terunggul seperti Menara Berkembar Petronas serta Menara Kuala Lumpur yang tersergam gah ‘dibaluti’ biru gelap senjakala atau orang kata, masa merelop. Rangkaian bangunan melingkungi Bukit Bintang atau Petaling Street disinari matahari yang masing-masingnya nampak membayang. Di kejauhan, kelihatan cahaya malam samar-samar menerangi seluruh kota Kuala Lumpur ala-ala kota New York pada malam hari. Daya tarikan pelancong seperti Jambatan Saloma, tangga warna-warni Batu Caves dan Masjid Terapung Putrajaya dipaparkan cantik pada mata kita. Sehingga menyejukkan pandangan mata dan melebarkan senyuman kita. Kesemua ini ditampilkan dalam akaun Instagram @kualalumpurcity!
Akaun ini datangnya daripada laman web kualalumpurcity.my – yakni sebuah laman editorial yang mencipta kandungan-kandungan yang khususnya tentang Kuala Lumpur ; seperti menyediakan maklumat fasal apa yang trending di Kuala Lumpur, pembudayaan baharu, wadah tumpuan dan mengesyorkan kita apa-apa cadangan yang berkaitan dengan Kuala Lumpur. Ia memunculkan akaun Instagram @kualalumpurcity, membenarkan orang umum seperti fotografer profesional mahupun mereka yang bijak dalam menangkap gambar untuk berkongsi imej-imej kota Kuala Lumpur dari perspektif yang berbeza-beza. Malah dalam pembentukan suntingan yang berlainan.
Lantas, akaun Instagram in mendekatkan mata kita, sebagai barisan generasi digital, untuk mengenali kota Kuala Lumpur dalam gambaran unik. Menurut pandangan peribadi kami, akaun Instagram ini bukan sahaja memperlihatkan keindahan kota Kuala Lumpur, ia turut memperkenalkan kita pada bakat-bakat fotografi Malaysia. Itulah yang menariknya fasal @kualalumpurcity.
Sekali lagi, cadangan kami, dalam masa menempuh #PKPB sekarang, mengikuti akaun Instagram @kualalumpurcity adalah perkara terbaik untuk dilakukan. Oh, untuk membangkitkan dan memvariasikan mood, pasang lagu-lagu late night drive playlist seraya melayari akaun Instagram tersebut. Percayalah.
Apa pandangan anda?