SEARCH

Persis Coldplay Malaya, Dengarkan Muzik Shuuna

Persis Coldplay Malaya, Dengarkan Muzik Shuuna

Shuuna, Suara Muzik Nafas Baru Industri Bebas Tempatan

Bebaskan diri dari masalah yang membelenggui dengan mendengar kugiran segar yang satu ini. Shuuna nama diberi. Tiada sebab untuk kamu lari dari suara yang menghantui jasad dan rohani. Muzik Shuuna seakan-akan merasuk. Tenang namun mencengkam. Punya aura ‘berhantu’ yang tersendiri.

Mendengar sahaja kugiran eksentrik yang menamakan P. Ramlee dan Saloma sebagai sumber inspirasi mereka ini, sememangnya suatu keputusan yang benar. Pertama kali saya mendengar lagu Shuuna pada 2017 berjudul ‘Terang Bintang, Tenang Bulan’ sudah membuat saya terpaut telinga untuk mendengar mereka buat selama-lamanya.

 

Baiklah tanpa membuang masa lagi, saya lampirkan temubual saya bersama Shuuna sempena URBN.SENI di Urbanscape 2019, seperti yang tertera:

 

 

1 – Beritahu kami segalanya tentang Shuuna? Siapa kalian dan apa yang kalian lakukan?

Ditubuhkan pada 2017, kami adalah kugiran bebas dari Kota Damansara, Selangor.

Bermula dengan Shuu (vokalis) yang sedang kuliah di UiTM Shah Alam, Moja (gitar) yang sedang menjalani housemanship di Hospital Selayang, Fai (dram) yang memiliki studio sendiri, Dataran Kertas dan Miro (bass) sebagai jurutera bunyi untuk beberapa kumpulan indie tempatan.

Shuuna seakan-akan diari peribadi. Kami hanya mahu melakukan sesuatu dengan sebab. Kemudian, barulah kami menyedari yang lagu kami mampu menyentuh ramai orang. Membuatkan kami makin suka berkongsinya dengan peminat-peminat kami di luar sana.

 

2 – Boleh ceritakan bagaimana kalian menubuhkan Shuuna? Adakah suratan atau kebetulan?

Shuu dan Mojo bertemu pada 2015 dan bersama, mereka bergabung sebagai duo yang banyak menyanyi lagu-lagu akustik semasa di Pulau Pinang.

Dua tahun kemudian pada 2017, Shuuna melepaskan EP pertama, ‘Torsades de Pointes’, memoir muzik yang menjadi faktor utama untuk kami melakukan jelajah muzik di seluruh Malaysia. Di sepanjang perjalanan, kami bertemu dengan Miro dan Fai, yang seterusnya menjadi ahli keluarga Shuuna.

 

3 – Bagi mereka yang baru mengenali, terangkan muzik dan genre Shuuna?

Shuuna amat ‘gila’ dengan genre-genre indie antarabangsa. Shuu dan Moja, masing-masing berkongsi minat dan cinta yang sama dengan P.Ramlee dan Saloma, dua figura yang banyak memberi inspirasi kepada Shuuna. Untuk EP pertama, kami memilih muzik elektronik yang segar. Bayangkan mendengar muzik Coldplay yang ‘berkahwin’ dengan muzik Lana Del Ray.

 

 

4 – Inspirasi Shuuna ketika membuat lagu atau ketika membuat persembahan?

Kami cuba untuk menangkap esen muzik-muzik yang pernah kami dengarkan. Semasa melakukan persembahan, kami mendapat tenaga dari penonton yang mahu berkongsi perasaan dengan kami.

 

5 – Pemuzik yang selalu dikaitkan dengan Shuuna?

P. Ramlee, Coldplay, The Walters dan Florence and The Machine

 

6 – Namakan tiga artis/kugiran yang ingin kamu dibandingkan bersama dan kenapa?

Pastel Lite kerana kami melihat mereka dalam segala aspek. Keakraban mereka, persembahan dan susunan muzik sangat mengesankan.

Kami juga suka Yuna kerana betapa ikhlasnya dia bermain muzik melalui lagu dan persembahannya. Sebagai individu, Yuna memberi inspirasi kepada kami.

Kami juga memandang tinggi Tame Impala dan Kevin Parker. Kami menyukai bunyi elektronik mereka dan bagaimana cara mereka merakam lagu.

 

 

7 – Apakah perasaan Shuuna terpilih untuk membuat persembahan di URBN.SENI sebagai salah satu artis/kumpulan yang mewakili Malaysia?

Ia satu penghormatan buat Shuuna berkongsi pentas dengan artis-artis Malaysia dan Singapura di URBN.SENI. Selamanya kami bersyukur atas peluang yang diberikan. Kami sangat teruja berkongsi muzik kami dengan artis/kugiran yang berlainan genre nanti.

 

8 –  Apakah yang peminat boleh jangkakan sepanjang persembahan Shuuna nanti at URBN.SENI?

Sedia untuk terpersona dengan muzik-muzik yang menyamankan! Salah satu muzik kami mungkin kedengaran ‘menakutkan’ bagi sesetengah orang kerana kami mengaplikasikan muzik ‘Ulek Mayang’ dalam lagu itu. Kami harap penonton yang hadir tidak lari meninggalkan kami semasa persembahan… (ketawa)

 

9 – Shuuna akan berkongsi pentas bersama nama-nama besar industri seperti SonaOne, juga artis-artis dari Singapura seperti Alif, Yung Raja dan Charlie Lim, apakah kelainan yang Shuuna akan bawakan?

Kekuatan muzik kami adalah muzik yang perlahan dan tenang, sehingga menusuk jiwa pendengar.

 

 

10 – Menurut Shuuna, apakah pertembungan dan perkongsian muzik antara dua negara (Malaysia & Singapura) adalah suatu perkara yang baik? Jika ya, kenapa. Dan jika tidak, kenapa?

Kami percaya kedua-dua negara (Malaysia dan Singapura) harus berkongsi pentas. Ia memberi peluang untuk kita mendengar muzik yang dihasilkan oleh kedua-dua buah negara itu tadi.

 

11 – Pendapat Shuuna tentang muzik di seberang tambak, Singapura?

Kami kagum dengan pemuzik mereka dan lagu-lagu mereka tidak kurang hebatnya!

 

12 – Sebagai anak muda, berikan saranan kepada belia di luar sana yang ingin menceburi bidang muzik ini? What’s the best piece of advice can you give to them.

Jangan pernah berhenti. Lakukan apa yang mahu kamu lakukan! Tidak mengapa jika kamu gagal. Kerana gagal sekali bukan bermaksud itu pengakhiran.

 

Foto oleh Bob H. Norbert

 

13 – What superpower would you love to have and why?

Shuu (vokalis) mahu membaca minda orang kerana boleh membaca pandangan mereka terhadap Shuuna, sama ada positif atau negatif. Jika sesuatu itu buruk, mungkin kami harus menerimanya dan berubah menjadi lebih baik.

 

14 – Boleh kongsikan kepada kami, tentang suatu perkara yang unik dan aneh tentang Shuuna yang ramai peminat tidak tahu?

Keempat-empat daripada kami memiliki citarasa muzik yang berlainan. Dan kami sangat ‘melekat’ antara satu sama lain. Kami seperti adik-beradik berlainan ibubapa.

 

15 – Stail dan muzik menurut pandangan Shuuna.

Muzik seperti kehidupan dan udara yang dihela. Kami tidak mampu hidup tanpa muzik. Setiap lagu punyai kelainan. Unik dan memberi makna yang tersendiri. Dan kami senang mengeksplorasi lapangan muzik yang baru – dalam dan luar Malaysia.

 

Saksikan Shuuna secara langsung di URBN.SENI, pentas perkongsian muzik perdana antara Malaysia dan Singapura pada 17 November 2019 (Ahad). Shuuna akan mengambil tempat di antara persembahan bermula 6.30 petang hingga 11.30 malam di The Godown KL.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE